Selasa, 11 Disember 2012

49

1105PM. Lama sudah saya tidak ke Mc Donald's, saya akhirnya kembali pulang kesana; dan selepas musim boikot terhadap restoran itu mula tidak kelihatan. Ini ialah musim tengkujuh yang kedua. Selepas yang pertama tamat. Tengkujuh ini peliknya, ia terlalu panas dengan rona awan yang masih cekal dengan warna putih---tidak hitam. Teman saya beritahu, hujung 2012 bumi akan gelap, heh, wajahnya begitu serius dan beria-ia dia kata itu pra-kiamat. Ya, kata saya dengan masih cekal menghisap rokok. Setiap saat, setiap peristiwa, setiap apa yang akan berlaku dan setiap memori yang berpapasan hilang ialah tentang itu. Tentang pra-kiamat. Itu sudah pasti.

Di Mc Donald's, saya bertemu Ain kembali ketika dia sedang mengoyakkan sos cili dengan giginya. Lama kami bersalaman, setiap milisaat mata kami bertemu, saya seperti tetamu yang tidak diundang dan tidak diperlukan dan, mustahil baginya untuk menjemput saya duduk dihadapannya.

Seraya Ain melepaskan tangan, saya terhidu haruman lavender. Tidak terlalu pekat, tapi saya pasti, saya kenal itu bukan minyak wangi yang dipakai Ain tetapi deodoran yang dijadikan minyak wangi oleh Ain.

Ain tetap menjemput saya duduk. Membiarkan dia selesai merenjis sos cili ke atas kubik daging burger, saya merenung wajahnya. Sungguh enak. Dia tetap manis begitu; dengan rambut coklatnya yang diikat menjadi bunjut, t-shirt hitam dan jeans usang. Pada wajahnya, saya lihat satu takungan memori yang panjang; memori yang biasa orang lain alami dan majis bagi saya. Mungkin juga bagi Ain. Tapi, menulis kembali memori biasa-biasa itu ialah sesuatu yang---amat payah dan mustahil pada saya, kerana....

***

Saya tanya Ain, dimana lagi tempat yang privasi untuk saya diami[?]. Ain tersedak dari menghirup kopi Arabica. Tertumpah sedikit ke lengannya yang dilapik resit pembayaran. 

"Sini tak ada lagi tempat privasi," dan selepas itu saya tersedar dari mimpi.

1 ulasan: