Isnin, 3 Februari 2014

Sajak yang belum siap sehingga tua.

Dengan berbekalkan not 50, aku keluar dari sini; membawa sejumlah pakaian cukup-cukup untuk jangka masa yang panjang dan saat yang mampir--terus berjalan, aku akan buang ia bersama rambutku yang dilewati usia tua, kain pakai yang elok dijadikan serbet, juga sajak-sajak yang tak pernah siap.

Aku mahu menulis sesuatu untuk orang tuaku. Sesuatu yang indah yang mereka mampu untuk tidak melupakan aku. Sekurang-kurangnya, jika ucapan itu tidak mampu tersiap, aku mahu mereka tahu, aku mahu terus cium dahi mereka saat rekah-rekah kulit terus harum dibawa bayu surga.

Aku mahu keluar dari sini; bersama teman-teman yang lewat masa muda mereka, memanggil namaku dipangkir batu sambil menjamah juadah barat. Tawa mereka lebih bingit dari topik perbualan mereka--yang bercampur bersama keresahan kami semua diusia muda; ya, aku tahu yang itu.

Lupakan untuk segalanya: masa depan-masa depan yang mengejar kita dengan ketakutan, wang, dan impian kita untuk melihat negara yang lebih bebas.

Aku tak mahu pulang ke sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan