Khamis, 26 Disember 2013

ARTIKEL RINGKAS UNTUK PERTUBUHAN "PENGGERAK PELAPIS ANAK SENI"

Yang paling menakutkan apabila saya menonton filem ialah saya mempercayainya. Kerana itu, jika dalam perbincangan yang dihadiri oleh 10 orang ahli, dan 9 ahli yang lain mendapat dalil kesepakatan, maka saya percaya, saya adalah orang yang ke-10, yang harus mencari dalil untuk mengkritik, dan mencari sesuatu yang salah (sesuatu yang tidak kena).

Baru-baru ini, saya menghadiri mesyuarat yang paling menggemparkan dalam sejarah kehidupan saya. Seorang rakan saya sedang dalam perjalanan untuk berpersatuan dalam menggerak, melapisi anak seni, atau mimpi anak seni. Saya tak tahu. Itu cuma persetujuan mereka. Saya datang ke sana cuma mahu 2-3 ketul karipap dan teh 'o' ais limau. Rakan saya sememangnya sudah melangkah ke fasa yang lebih jauh. Ya, saya tahu (sekalipun saya telah menarik diri). Tetapi saya suka sebutkan disini bahawa dia sememangnya seorang yang berwawasan dalam menentukan misi dan visi pertubuhan mereka yang sudah pun menjangkau kira-kira 40 orang ahli. Saya kagum. 

Dan saya juga takut.

Ada beberapa perkara yang disebutkan di dalam hal yang disepakati mereka bahawa mereka adalah anak seni yang bergerak dan saling melapisi (saya tidak tahu bagaimana mereka mengaplikasi dan memaknakannya). Hal ini semacam berlapis dan saya mulai kabur apa fokus sebenar. ( Ya, saya berikan masa pada diri saya untuk mempercayai bahawa mereka harus lakukan sesuatu untuk anak-anak seni dan seni itu sendiri). Sebutan saya dalam artikel ini tidak memaknai apa-apa. Ia cuma pendapat peribadi yang sering kali mengingatkan saya pada daifnya kolektif-kolektif seni anak muda sekarang. Tidak berhasil punyai wang yang banyak, organisasi yang berterabur, jadual aktiviti yang tidak menentu, skala pembesaran aktiviti mereka juga saya yakin, mengganggu hidup mereka. Tapi, dasar kolektif anak-anak muda seperti ini saya suka. Saya suka dasar dan niat mereka sekalipun acapkali saya menghadiri majlis, mereka semacam syok sendiri. Tidak mengapa, ini semua proses tumbesaran dan pembesaran. Pengolahan ide yang jamak tidak mampu dilakukan oleh hak milik individu. Ini lebih kurang sama dengan pertubuhan yang kawan saya tubuhkan ini. Pertubuhan ini (sekalipun masih mencari modal kewangan untuk aktiviti), mereka punyai organisasi yang kuat dengan badan-badan exco yang bertindak. Malahan, saya tidak hiraukan tentang 'apa yang menggerakkan mereka', tetapi saya risau 'atas dasar apa mereka bergerak'. 

SENI sesuatu yang abstrak, cantik, dan tiada sesiapa yang mampu menyentuh ke dasarnya. Ia lebih agung dari fizik kuantum, fizik mekanik dan bagaimana ahli astronomi terdiri dari ahli-ahli animasi Walt Disney. Kerana itu, saya tak pernah mengaku saya ANAK SENI. Juga tak pernah mengaku apa yang saya lakukan sebelum-sebelum ini dan selepas-selepas ini adalah SENI. Juga saya tak pernah percaya seseorang yang mengaku dia penulis, dia penulis yang sebenarny. Seseorang yang mengaku dia penyair, dia bukan penyair yang sebenar. Disinilah permasalahan timbul; kita sudah tidak mahu untuk belajar mencari ilmu dan membaca. Kita hanya memahami seni pada permukaannya yang kelihatan cantik. Kita nampak dalam perfomens Ayah AGI, kita mahu menjadi seperti dia.Disorak, dirai. Kita nampak Dato' Siti Nurhaliza dan Awie menyanyi, kita mahu jadi sepertinya. Kita hanya orang gila yang belum puas untuk memiliki; mabuk dengan dunia ciptaan kita sendiri. 

Dalam tempoh yang panjang, yang terhasil dalam pelaksanaan ini adalah penciptaan kebebalan dan kedunguan. Dan pekerjaan yang paling berat adalah berfikir. 

Anak muda seharusnya meraikan seni sebagai satu medium empati yang seharusnya menyeluruh dan tidak terlalu mengikut dogma-dogma dan ajaran seni hiburan semata-mata, yang berkiblatkan wang, glamour dan mencipta kelas masyarakat autonomi; yang mempercayai bahawa artis-artis (negara 'kita') adalah model ikutan yang harus diikuti, juga mempercayai bahawa ruang kemiskinan hanya boleh dibuka oleh industri hiburan 'tanah air kita'.

Satu hal lagi yang menarik minat saya untuk menyentuh adalah dengan kewujudan Exco Pendidikan (selain Exco Kesenian  & Kebudayaan), dimana, penyebaran ilmu yang lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu pada mana-mana isu. Lupakan tentang nota-nota poket, lupakan tentang nota-nota ringkas. Bentangkan satu alaf baru dalam penyebaran ilmu dan pendidikan. Saya percaya bahawa ilmu di dasarkan dengan budaya pencerahan. Saya bukan seorang yang radikal dalam isu ini, tetapi, boleh saya katakan, anak muda sekarang harus bermula dengan budaya kritik-mengkritik. Tetapi ia haruslah di dasarkan dengan pembukaan cabang ilmu yang baru dan bukan hanya penyebaran fitnah yang sememangnya tiada asas. Budayakan satu solusi baru untuk semua ANAK SENI berfikir, berkongsi maklumat dan menyebarkan pendapat mereka. Jangan terlalu menumpukan Debat Piala Dekan dan mengharapkan Library Is My Second Home untuk mendapatkan maklumat. Bina alternatif baru yang membuka dimensi maklumat dan ilmu dengan lebih luas. Exco ini tidak seharusnya bertindak cuma sekadar memerhati ahli-ahli yang lain sekadar cuma untuk 'menyelamatkan' pointer (ahli-ahli) mereka. Ini sesuatu yang pelik!. 

Barangkali mungkin satu hari nanti yang tinggal di dalam 'sini' adalah cuma anak-anak seni muda yang menjadi pelapis kaum borjuis, 'artis-artis kegemaran kamu', budaya 'menyekat' kebodohan; memenjarakan lapangan ilmu, pendidikan, kajian dan lain-lain ke dalam lubang tandas kolej. Cuma ini dari saya. Sekian.


[INI ARTIKEL BEBAS: Segala yang terkandung di dalam ini adalah komentar-komentar dan lontaran pendapat laman sosial. Ia sama seperti anda menulis sesuatu tentang Luna Maya, 9GAG, aktiviti sosial dihujung minggu dan kenaikan harga rokok.]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan