Isnin, 9 Disember 2013

menonton filem, bukan pekerjaan filmmaker

Bila 'datang' ke sini, ada satu perasaan yang sungguh bersalah dan sunyi yang sungguh menebal dalam diri saya. Satu perasaan yang aneh, yang saya sendiri--malas untuk menulis, sebenarnya dan kenapa entah, dalam opening-tab google, selalu muncul link blog ni. 

Saya tak pasti ini satu perbuatan yang berhak atas saya atau tidak. Tapi sepanjang saya di Puncak Perdana, saya ditagih sehingga terlalu sibuk dengan perkara-perkara yang acapkali menembungkan saya dengan objek dan mesin sehingga saya bosan. Tapi pagi ini, lepas mandi, saya mahu kongsikan satu review filem. Saya tak pasti ini review yang rahsia (benar-benar rahsia) sehingga tak boleh disebar pada umum--atau yang lebih teruk dari itu, saya tak pasti. Dan saya tak peduli. Saya ada satu koleksi[?] review (2013) yang masih lagi saya simpan. Dengan Times New Roman saiz 12, penuh A4, saya perlu hantar review ini pada Norman Yusoff, dan saya mahu kongsikan. Manalah tahu, ada yang sudi baca dan dan dan--


Filem A Song od Sparrow (2008) ini jika dilihat dengan lebih dalam, ia tidak menekankan secara total tentang watak Karim (protagonis) dalam membawa naratif. Tetapi ia lebih menekankan sosio-budaya, politik, ekonomi masyarakat Iran. Ada sesuatu yang mahu Majid Majidi perkatakan seperti, “Karim, awak patut bersyukur dibuang kerja, dan seorang lelaki dengan tiba-tiba naik ke motor awak, dan beri awak wang kerana menghantarnya.” Dalam kerangka yang lebih besar, Majid Majidi dilihat ‘menggunakan’ lelaki yang memakai kot beserta briefcase tidak ubah seperti ahli-ahli borjuis yang membonekakan orang-orang miskin seperti Karim. Dan Majid Majidi seperti mahu berkata lagi, “lihat Karim, inilah sebenarnya yang terjadi dalam masyarakat kita.” Keberkesanan Majid Majidi tidak terlalu mengikat Karim (baca: naratif) patut dipuji. Mungkin patut saya katakan lagi bahawa realism filem ini (yang bergerak di dalam habitatnya sendiri) bergerak dari satu poin ke satu poin yang lain dan menghasilkan sejumlah hasil, atau jumlah yang berbeza tetapi masih lagi dalam skop yang yang sama. Satu poin untuk sosio budaya, politik, ekonomi, dan satu poin lagi Majid Majidi menyuntik elemen kekeluargaan. Lihat bagaimana Majid Majidi menggunakan simbol kolam empat segi yang diletakkan dihalaman rumahnya, dan air yang berkeladak. Bilamana Karim membasuh kaki anaknya yang penuh dengan lumpur di dalam kolam empat segi yang penuh dengan air berkeladak, bentuk kolam empat segi ditambah air yang berkeladak itu seperti satu lambang egoism, mementingkan diri sendiri dan dipenuhi dengan elemen air itu yang secara naturalnya jernih telah menjadi keruh. Bukan akibat kesan basuhan kaki Karim bersama anaknya, bahkan, ia melambangkan bagaimana egoism, mementingkan diri, boleh dicuci dengan sikap hormat-menghormati dan berkasih-sayang. Filem ini sememangnya banyak mewujudkan simbol untuk menerangkan betapa dalam hidup yang penuh dengan kacau bilau, brutal dan membunuh, masih lagi ada jiwa-jiwa yang punyai impian yang besar (sekalipun hanya bermula dengan seekor ikan emas). Mise-en-scene ketika adengan-adengan Karim di desa dipaparkan secara minimalis memberikan hawa tenteram. Ini juga menyentuh aspek aktoristik si Karim dalam memberikan nur baru dalam kehidupan barunya, berbanding ‘apa yang diletakkan di dalam bingkai’ ketika Karim pergi ke Bandar, suasana sesak lagi menyesakkan dan bunyi yang bingit memberikan satu lagi senirasa yang baru. Disinilah perbezaan yang Majid Majidi ingin tunjukkan di antara dua kawasan/ruang tersebut. Secara generalnya, naratif A Song of Sparrow dibina secara teratur tetapi memerlukan perhatian yang amat tajam untuk memahami tiap-tiap adengan kerana Majid Majidi tidak mengajar penonton secara terus tetapi secara halus.

p/s: setelah mandi tadi, saya sedarkan sesuatu. dan kenapa agaknya saya terlalu takut untuk me-review filem?

1 ulasan: