Sabtu, 4 Januari 2014

Submarine (2010), Kontradiksi Kejutan Budaya, Cinta & Remaja-Remaja Nakal.

Submarine (2010) karya Richard Ayoade ini menampilkan satu rasa pop yang janggal tetapi menyeronokkan. Janggal kerana saya menyangkakan ini satu lagi filem Jean Luc Godard (baca: saya jumpa filem ini kerana ‘sesat’ di dalam folder. Mungkin Maisarah yang masukkannya). Mana tidaknya, Jean Luc Godard punyai pattern sendiri dalam menghasilkan introduksi yang agak fun dan pop. Ini saya merujuk pada salah satu filemnya iaitu A Woman is A Woman (1961). 

Tetapi untuk Subramine, secara keselurahnnya, Richarcd Ayoade telah membawa satu bentuk rasa filem yang baru. Submarine satu filem drama-sentimental-romantik komedi dan manja. Saya boleh katakan bahawa karekter yang dibawa oleh Craig Roberts sebagai Oliver Tate sungguh berkesan. Dari karekternya yang begitu, Oliver Tate punyai kuasa untuk membawa cerita adaptasi dari novel Joe Dunthorne ini sebagai protaganis yang menyimpang dari keboleh-pasaran watak-watak yang lain pada era ini. Dia (Craig Roberts) telah menjadi seorang remaja yang naïf dengan dunianya sendiri: dimana ketika waktu itu, cuba untuk mendominasi dirinya menjadi orang lain agar dapat berkenalan dengan Jordana (lakonan Yasmie Paige). Ini satu kontradiksi kecil-kecilan, tetapi saya suka. Seorang remaja yang naïf seperti Oliver sememangnya punyai keupayaan untuk didominasi oleh kalcer sosialitas dalam rangkaian kehidupannya. 

Saya boleh lihat sendiri, dan buktikan, dengan umur Oliver seperti itu, kejutan budaya adalah sesuatu yang tidak asing; jika tidak berterusan dibendung, remaja sepertinya akan terus ‘melangkah kehadapan’ dan tidak mampu mencari jalan pulang dek kerana mahu mencari singgahsana kehidupan sendiri. Tetapi tidak Oliver. Oliver cuma remaja yang naïf. Itu sahaja. Dan dia menjadi sebegitu kerana dia mahukan Jordana. Jordana pula bagi saya, seorang gadis psikik yang perlukan cinta sebagai habuan. Dia sememangnya misteri dan saya tidak terkejut dengan kemisterian Jordana. Kerana saya tahu, Oliver Tate sememangnya cuma memerlukan cinta dan bukan Jordana. Jordana cuma objek yang mengeluarkan hawa tersebut laksana cerita-cerita yang bersangkutan seperti itu: keinginan untuk memperolehi cinta perempuan misteri, sesuatu yang janggal, kontradiksi, blah blah blah, seperti juga apa yang terhasil melalui filem Eternal Sunshine of The Spotless Mind. Tentang isu itu, saya mampu maafkan (oh, apalah harga maaf ini). Tentang plot, ia disusun dengan sungguh baik melalui tatacara penghasilan novel dengan susunan-susunan bab yang minimalis (ada prolog, bab satu, bab dua dan epilog). Ini juga bukan lagi alasan untuk saya menolak filem ini, dan berkata, “ini filem buruk, dan Richard telah meninggalkan tugasnya sebagai pengarah, lalu memberikan sepenuhnya kuasanya kepada plot dari novel Joe Dunthorne untuk dijadikan/diadaptasikan menjadi filem”. Cuma mungkin, Richard Ayoade terlalu asyik ‘tenggelam’ dengan keasyikan jalan ceritanya (yang saya pun sama) dan tidak mahu melepaskan apa-apa yang cantik dan bagus tentang karya Joe Dunthorne ini. Mana tidaknya, plotnya ‘bersih’ dan tiap-tiap sub-cerita disusun dengan baik dan teratur (tidak perlu saya sebut lagi).

Di dalam tiap-tiap sub-cerita membawa idea yang baru tentang pergolakan Oliver Tate (lupakan tentang bagaimana dia berfalsafah tentang kapal selam). Idea yang mencerminkan tentang seorang remaja yang perlu menghadam segala isi kandungan hidupnya, dan bukan sahaja berkisar tentang cintanya pada Jordana. 

Lloyd Tate (lakonan Noah Taylor), juga Jill Tate (lakonan Sally Hawkins).

Saya tidak mahu tewas dengan idea percintaan Oliver dan Jordana sehingga menjadi bosan. Syukur, sehinggalah pada bab yang kedua (disebut disitu sebagai part-two), drama tentang kisah keluarga Oliver dimunculkan dengan begitu santun. Saya menyedari satu perkara yang tidak banyak disentuh di dalam mana-mana filem konflik rumahtangga seperti ini. Iaitu kejujuran. Kejujuran yang terhasil disebalik tirai halus yang dibenang oleh Richard dan kerjanya. 

Lloyd, ayah kepada Oliver seorang pensyarah diuniversiti punyai masalah spiritual bersama isterinya, Jill Tate. Lloyd menjadi suami yang tidak berharga apabila sudah lama tidak melakukan seks bersama isterinya. Namun, Jill yang ketika itu berkenalan dengan Graham, jirannya, seorang rockers-rock-n'-roll 3-rd class fucktard, 'memungkin' sesiapa pun yang menonton filem ini untuk mengenalpasti bahawa Jill punyai hubungan dengan Graham. Konflik demi konflik, Oliver terpaksa memilih untuk terus memilih keluarga berbanding pembedahan kanser ibu Jordana.

Oliver memilih pilihan yang tepat: keluarganya. Tentang Jordana, kemudian menjadi parasit yang kuat dalam diri Oliver sehingga dia menjadi prejudis (sila baca dengan realiti remaja masakini *poyo*) terhadap dirinya sendiri.

Perasaan Lloyd sikitpun tidak terjejas. Malahan, karekternya disesuaikan dengan seseorang yang berfalsafah dan menganggap segala apa yang terjadi, tidak memungkinkan dia untuk bersedih. Sekalipun Lloyd tahu tentang jalinan mesra antara isterinya bersama Graham, tetapi prejudis Oliver lebih dari Lloyd.

Dari cerita tentang Oliver-Jordana, Oliver-keluarganya, dan filem-filem dramatik sentimental, Submarine jauh berbeza. Sinematografinya seperti documentary-setting dengan 'jerk camera' yang bersimpang siur bersama imej-imej rawak dan dialog-dialog berfalsafah dari seorang remaja. Penonton tidak akan bosan dengan filem ini. Ia bukan sesuatu yang tipikal; kamera statik, scene-scene indah dari pancaran landskap alam, laki-laki comel, gadis-gadis comel, etcetera-etcetera. Ia cuma perlu dibaca dikemudian ditelah tanpa perlu dikunya dengan begitu lumat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan